Raja Ali Haji (1809-1870)
Raja Ali Haji adalah putera hasil perkahwinan Raja Ahmad bin Raja Haji dengan pasangannya, Encik Hamidah binti Panglima Malik Selangor. Beliau lahir di Pulau Penyengat, iaitu sebuah pusat kerajaan Riau Lingga, Johor dan Pahang pada tahun 1809. Beliau adalah anak bongsu daripada tujuh orang bersaudara. Beliau berasal daripada keturunan Bugis iaitu daripada golongan bangsawan, Gelaran 'Raja' pada nama beliau diperoleh daripada nama keturunan keluarga kerana 'Yang Dipertuan lV ' merupakan kerabat Sultan Riau Lingga (Sigit Rahman, 2004)
Sejarahnya bermula apabila orang Bugis tiba di kawasan Pulau Penyengat sekitar abad ke-18. Kebetulan pada masa itu berlaku perebutan kuasa antara pewaris Kesultanan Johor setelah Sultan Mahmud Syah ll terbunuh. Datuknya, Raja Haji berjaya mendirikan Kesultanan Johor-Riau sebagaii pusat perdagangan dan budaya yang teragung. Datuknya adalah 'Yang Dipertuan lV' Kerajaan Riau Lingga dan seorang pahlawan masyhur dengan keberaniannya menentang Belanda hingga tewas dalam peperangan di Teluk Ketapang pada tahun 1784. Raja Haji meninggalkan dua orang putera iaitu Raja Ahmad dan Raja Ja'far. Raja Ahmad (ayahanda Raja Ali Haji) adalah pangeran pertama dari Riau yang menunaikan haji.
Raja Ahmad sangat menyukai bidang sejarah. Salah satu karyanya yang terkemuka ialah 'Syair Perang Johor' yang menceritakan tentang peperangan antara Kesultanan Johor dan Kesultanan Acheh pada abad ke-17. Selain itu, Raja Ahmad adalah orang pertama yang menyusun sebuah buku mengenai sejarah orang Bugis di daerah Melayu dan hubungannya dengan raja-raja Melayu.
Bakat menulis ini kemudiannya diturunkan kepada puteranya, Raja Ali Haji. Semenjak remaja lagi, Raja Ali Haji sering mengikuti ayahnya mengembara ke sejumlah wilayah termasuk ke Batavia, perjalanan perdagangan dan menunaikan haji keTanah Suci. Pengalaman ini secara lansung memberikan ilmu pengetahuan yang cukup luas buat dirinya. Ketika berusia 20 tahun, beliau sudah memikul tanggungjawab dan tugas-tugas kenegaraan. Sehingga usianya mencecah 32 tahun, Raja Ali bersama sepupunya, Raja Ali bin Raja Ja'far diberi kepercayaan untuk memerintah di daerah Lingga yang mewakili Sultan Mahmud Muzaffar Syah yang ketika itu masih muda. Selain itu, sejak belia lagi beliau sudah terkenal sebagai ulama dan sering diminta pandangan berhubung fatwanya oleh kerabat kerajaan.
Beliau merupakan salah seorang di antara sasterawan yang sezaman dengan Abdullah Munshi tetapi mempunyai latar pendidikan yang berbeza. Walaupun begitu, penggunaan bahasa di antara mereka berdua cukup berbeza. Hal ini tidaklah menghairankan kerana mereka bukan sahaja memiliki latar belakang yang berbeza tetapi juga kerjaya dan lingkungan yang berbeza. Abdullah berpendidikan Inggeris, bekerja sebagai penterjemah bahasa Inggeris dan hidup di tengah-tengah masyarakat perdagangan di Singapura. Manakala Raja Ali Haji pula golongan berpendidikan Arab, pendakwah dan hidup dalam lingkungan istana di Pulau Penyengat, Riau.
Sumbangan beliau dalam bidang intelektual berupa sejumlah karya meliputi pelbagai bidang antaranya ialah bidang keagamaan, sastera, politik, filsafat, hukum, ketatanegaraan dan tatabahasa. Di bidang sastera Melayu, karyanya yang berjudul Hikayat Abdul Muluk yang dibuat pada tahun 1846 dianggap sebagai karya sasterawan Riau yang pertama kali diterbitkan. Karya-karya Raja Ali Haji dikenal dengan sifat khusus yang berakar pada syariat Islam dan juga tradisi Melayu.
Syair Hikayat Abdul Muluk |
Karya sastera yang terkenal ialah Gurindam Dua Belas yang dihasilkan pada tahun 1847. Gurindam yang mengandungi dua belas fasal ini menyangkut persoalan ibadah, perseorangan, kewajiban raja, kwajiban anak terhadap orang tua, tugas orang tua terhadap anak, sifat-sifat bermasyarakat dan sebagainya. Jodi Yudhono dala, artikelnya yang bertajuk "Raja Ali Haji, Magma Sastra Melayu" ada memetik kata-kata Raja Ali Haji yang menerangkan gurindam sebagai berikut: ''ada pun arti gurindam itu, iaitu perkataan yang bersajak pada pasangannya, tetapi sempurna perkataannya dengan satu pasangannya saja, jadilah seperti sajak yang pertama itu syarat dan sajak yang kedua itu jadi seperti jawab". Beberapa rangkap petikan gurindam adalah seperti di bawah ini :
"Barang siapa mengenal Yang Tersebut, tahulah ia makna takut,
Barang siapa meninggalkan sembahyang, seperti rumah tiada bertiang,
Barang siapa meninggalkan puasa, tidaklah mendapat dua termasa,
Barang siapa meninggalkan zakat, tiadalah hartanya beroleh berkat,
Barang siapa meninggalkan haji, tiadalah ia menyempurnakan janji"
Oleh kerana pengetahuan bahasa Arabnya tinggi, maka nahu Melayu yang ditulisnya itu berdasarkan bahasa Arab. Karya tersebut berjudul Bustanulkatibin yang bertarikh 1850M. Karya lainnya yang terkenal adalah buku di bidang ketatanegaraan yang berjudul Intizam Wazaif al Malik. buku yang berisi nasihat terhadap perilaku raja dan aturan pemerintahan secara Islam ini ia buat untuk memperingati wafatnya Yamtuan Muda Raja Ali bin Raja Ja'far pada tahun 1857.
Dua tahun kemudian, beliau membuat karya lainnya di bidang yang sama. iaitu buku yang berjudul Samarat Difayah li al-Umara wa al-Kubara wa li ahl al-Mahkamah yang bermaksud (pahala dari tugas-tugas keagamaan bagi para pemimpin, pembesar dan para Hakim). Di samping karya kesusasteraan dan nahu bahasa Melayu, beliau juga menghasilkan Kitab Pengetahuan Bahasa pada 1859M iaitu sebuah kamus bahasa Melayu. Sebenarnya buku ini membincangkan nahu bahasa Melayu secara ringkas dan sederhana. Ia lebih sesuai dikatakan sebagai ensiklopedia. Menurut R. Hamzah Yusuf, pentransliterasi Kitab Pengetahuan Bahasa, walaupun tidak semua abjad yang terdapat di dalam kamus tersebut diakhiri sebahagian daripada perkataan berawalan ca, namun buku ini disamping mengandungi erti perkataan, ia juga menyertakan penjelasan terhadap setiap perkataan termasuk huraian nahu bahasa Melayu walaupun berdasarkan kaedah bahasa Arab.
Buku-buku beliau lainnya adalah Silsilah Melayu dan Bugis yang mengisahkan pengalaman lima orang Bugis bersaudara yang merupakan nenek moyang Pangeran Penyengat. Dua karya di atas merupakan warisan yang sangat berharga bagi sejarah Sumatera, Kalimantan, dan Semenanjung Malaya. Buku ini juga mengisahkan peristiwa-peristiwa bersejarah yang terjadi di kawasan ini selama dua abad.
Karya beliau yang lainnya ialah Tuhfat al-Nafis yang dicetak pada tahun 1865 dan Bustan al-Katibin li as Sibyan al-Muta'allim (Taman para Penulis dan Pencari Ilmu) yang dicetak pada tahun 1875. Dan kemudiannya buku berjudul Kitab Pengetahuan Bahasa. Malangnya kedua buku ini belum selesai kerana beliau wafat pada tahun 1870.
Petikan daripada kitab Tuhfat al-Nafis. |
Bukunya yang lai adalah Siti Sianah, Suluh Pegawai, Taman Permata, dan Sinar Gembala Mustika Alam. Setiap buku-buku yang dibuatnya, khususnya yang berisi nasihat, selalunya disetai contoh-contoh khusus yang terjadi di sekelilingnya pada masa yang sama. Jelaslah, Raja Ali Haji adalah seorang ilmuan yang teragung pada abad ke-19. Beliau memberikan sumbangan yang penting dalam usaha memperkembangkan Bahasa Melayu.
No comments:
Post a Comment