Fungsi Bahasa.
Bahasa merupakan tonggak jati diri bangsa. Bak kata pepatah, hilang bahasa lenyap bangsa. Pepatah ini menggambarkan tentang bahasa itu penting bagi sesuatu bangsa. Sehubungan dengan itu, setiap negara memerlukan sekurang-kurangnya satu bahasa kebangsaan untuk menjadi dasar bagi satu identifikasi kebangsaan. Bahasa kebangsaan melambangkan identiti negara, lambang penyatuan dan desakan semangat kebangsaan. Semasa penjajahan British dahulu, bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pendidikan dan pentadbiran negara. Hal ini kerana tidak ada usaha yang dilakukan oleh mana-mana pihak untuk mengangkat dan memartabatkan bahasa Kebangsaan ini.
Bahasa Kebangsaan ialah bahasa yang diangkat menjadi bahasa utama sesebuah negara yang berdaulat dan lazimnya digunakan sebagai bahasa rasmi negara tersebut. Semua negara yang berdaulat mempunyai bahasa kebangsaan sendiri. Misalnya, bahasa Melayu di Malaysia, bahasa Inggeris di United Kingdom, bahasa Perancis di Perancis, bahasa Jepun di Jepun dan bahasa Jerman di Jerman. Lazimnya, terutama di negara yang baru memperoleh kemerdekaan daripada penjajah, hakikat ini, yakni status dan kedudukan bahasa kebangsaan, termaktub dalam Perlembagaan negara berkenaan.
Rasional bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan adalah disebabkan tiga faktor. Faktor pertama ialah bangsa Melayu merupakan golongan majoriti yang menduduki Malaysia. Jadi bahasa Melayu yang merupakan bahasa komunikasi antara masyarakat Melayu dipilih sebagai bahasa Kebangsaan. Faktor seterusnya ialah bahasa Melayu dipilih kerana faktor sejarah. Pada masa dahulu bahasa Melayu merupakan bahasa lingua-franca dan bahasa pentadbiran pada abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaanSriwijaya. Oleh itu, sejarah ini menunjukkan kegemilangan bahasa Melayu yang mendorong kepada pemilihannya sebagai bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa pentadbiran kerana bahasa Melayu bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar. Selain itu, bahasa Melayu tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat dan mempunyai sistem bahasa yag mudah dipelajari.
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dibuktikan melalui kewujudan perenggan 152 Perlembagaan Malaysia seperti berikut :
"Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah digunakan dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen. Dengan syarat bahawa (a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi) atau daripada nebgajarkan atau belajar. apa-apa bahasa -bahasa asing, (b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini
boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajaran bahasa mana-mana kaum lain dalam Persekutuan".
Di samping itu juga, Kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan terkandung dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan, iaitu sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Pengantar yang tunggal di sekolah-sekolah atau di institusi-institusi pengajian. Usaha untuk mendaulatkan dan memperluaskan penggunaan Bahasa Melayu ini telah dijalankan dengan lebih giat melalui pelbagai aktiviti seperti minggu dan bulan Bahasa, perjuangan politik bahasa dan melengkapkan bahasa serta buku-buku ilmu pengetahuan dalam bahasa Melayu.
Bahasa Rasmi.
Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi bagi negara Malaysia. Bahasa rasmi bermaksud bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi iaitu dalam urusan pemerintah dan pentadbiran, perdagangan dan perusahaan, upacara rasmi, perundangan dan kehakiman. Bahasa Melayu juga dijadikan alat untuk tujuan tertentu. Pada tahun 1969 bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa rasmi menggantikan bahasa Inggeris. Bahasa rasmi bagi sesebuah negara boleh terdiri daripada lebih satu bahasa. Contoh negara Singapura yang mempunyai empat bahasa rasmi iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan bahasa Tamil.
Bahasa Melayu dan bukan bahasa lain digunakan sebagai bahasa rasmi kerana beberapa sebab. Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa kebangsaan dan berupaya mengambil alih fungsi bahasa Inggeris, maka layaklah bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa rasmi negara. Bahasa Melayu juga dapat difahami oleh semua kaum di negara ini, maka dalam urusan rasmi, rakyat negara ini tidak mempunyai masalah untuk menggunakan bahasa Melayu.
Bahasa Perpaduan.
Bahasa Melayu merupakan bahasa perpaduan. Penyataan ini beerti bahasa Melayu adalah egen penyatuan masyarakat. Bahasa Melayu juga menimbulkan kecintaan dan semangat kebangsaan di kalangan masyarakat menerusi fungsinya sebagai bahasa perpaduan. Selain itu, asas kebudayaan dan bahasa kebangsaan mewujudkan bangsa Malaysia. Contoh negara lain ialah Cina menggunakan bahasa Cina, Manchuria dan Monggolia dan British menggunakan bahasa Inggeris, Scottish, Wales dan Irish.
Bahasa Ilmu.
Bahasa Melayu adalah bahasa ilmu. Bahasa ilmu adalah bahasa yang mampu menjadi perantaraan bagi penyampaian ilmu pengetahuan moden sehingga ke peringkat tinggi. Selain itu, bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa akademik, lengkap dengan laras-laras bahasa dan mampu memperkatakan pelbagai bidang keilmuan. Di samping itu, bahasa Melayu mempunyai perbendaharaan kata, istilah dan bahasa yang sesuai untuk mengungkapkan konsep dan pemikiran yang abstrak dan kompleks.
Ciri-ciri bahasa ilmu terbahagi dua bahagian. Pertama, keintelektualan bahasa yang bermaksud keupayaan sesuatu bahasa itu menyampaikan buah fikiran dan hujah dengan tepat dan berkesan. Keintelektualan bahasa boleh dicapai melalui perkembangan perbendaharaan kata (kosa kata) dan struktur kata. Contohnya perbendaharaan kata lebih banyak dan khusus, struktur kata yang komples dan asing bermakna senang menerima unsur baru, dan akhir sekali ialah pengimbuhan lebih kompleks dan ada imbuhan asing yang sudah mempengaruhi perbentukan kata bahasa Melayu.
Ciri terakhir ialah kesempurnaan bahasa. Hal ini dicapai melalui kestabilan, kelenturan, kepelbagaian dan keindahannya. Kestabilan merujuk kepada kepatuhan terhadap peraturan-peraturan sedia ada pada aspek sistem ejaan, pengimbuhan, sebutan baku dan ayat. Kelenturan adalah kesesuaiannya terhadap pembaharuan-pembaharuan yang berlaku dalam masyarakat bahasa, boleh menyesuaikan diri dengan perubahan masa dan selera penuturnya tanpa mengorbankan sifat-sifat aslinya. Kepelbagaian pula merujuk kepada gaya penyampaian yang berbagai. Keberkesanan bermaksud keupayaan menjelaskan maksud dengan tepat dan berkesan. Akhirnya, keindahan iaitu penggunaan bahasa yang sedap didengar, bertenaga dan menarik.
Bahasa Melayu sekian lama telah menjadi bahasa pengantar di sekolah, maktab, politeknik dan universiti. Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia merupakan kemuncak bagi menentukan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Sehingga kini, universiti itu telah melahirkan ratusan ribu siswazah yang menerima pendidikan dalam Bahasa Melayu.
Bahasa Komunikasi.
Bahasa Melayu merupakan bahasa komunikasi yang juga dikenali sebagai bahasa perhubungan. Tujuannya adalah melahirkan perasaan, menjana pemikiran dan menjelaskan sesuatu yang tersirat dalam bentuk pertuturan. Selain itu, penggunaan pelbagai laras bahasa mengikut situasi dan konteks (formal dan tidak formal) mengukuhkan lagi penyataan sebelumnya bahasa bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi.
Seterusnya bahasa Melayu telah menjadi bahasa perhubungan antara rakyat jelata kerana bahasa itu dapat dipelajari dengan senang dan telah sekian lama menjadi lungua-franca penduduk kawasan ini. Rakyat jelata yang dimaksudkan ialah masyarakat biasa bukan golongan elit yang sebab sifat dwibahasa mereka, lebih selesa menggunakan bahasa campuran (Melayu-Inggeris).
Dasar Bahasa Melayu.
Sebagai bahasa Kebangsaan kepada negara yang baru berdaulat, bahasa Melayu dikehendaki memikul beban tugas baharu. Selain bahasa rasmi negara, ia menjadi bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan awam dan bahasa pengantar serta bahasa ilmiah di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Semua itu dipikul peringkat demi peringkat oleh bahasa Melayu sejak tahun 1957, ketika negara mencapai kemerdekaan.
Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan jelas termaktub dalam perlembagaan Malaysia. Fasal (1) Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa : "Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang Parlimen...."
Profesor Asmah Hj. Omar dalam bukunya "Perancangan Bahasa" dengan rujukan khusus kepada perancangan bahasa Melayu telah mengistilahkan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa yang melambangkan identiti dan kedaulatan negara. Berdasarkan definisi ini, kita pasti bahasa Kebangsaan mempunyai fungsi yang besar kerana ia menjadi lambang persatuan dan kedaulatan negara.
No comments:
Post a Comment